assie's Diaryland Diary

-----------------------------------------------------------------------------------------

Speechless.

8 pelajar dituduh bunuh:
Enam lagi disyaki belasah junior terus disiasat

Oleh Mokhtar Alias.

SEREMBAN: Sekurang-kurangnya lapan daripada 14 pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Agama Dato Klana Petra Maamor, Ampangan, yang ditahan berikutan kematian seorang pelajar di asrama sekolah itu Ahad lalu, dijangka didakwa di Mahkamah Majistret di sini pagi ini, atas tuduhan membunuh.

Berita Harian difahamkan, hanya lapan daripada mereka akan didakwa, manakala bakinya dijangka disambung tahanan reman untuk siasatan lanjut. Semua pelajar terbabit berusia dalam lingkungan 17 tahun. Sumber-sumber polis berkata, pihaknya akan membuat permohonan kepada mahkamah untuk membicarakan lapan pelajar itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Semua pelajar itu ditahan pada Ahad lalu bagi membantu siasatan kematian pelajar Tingkatan Empat, Muhammad Farid Ibrahim, 16 (gambar), dipercayai akibat dibelasah oleh sekumpulan pelajar senior selepas enggan meminjamkan cerek elektrik baru yang dibelinya.

Mangsa ditemui cedera parah di dalam tandas sekolah berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari dan dihantar ke Hospital Seremban kira-kira jam 4 petang tetapi meninggal dunia sebelum sempat diberi rawatan.

Semalam, Majistret Ahmad Faizadh Yahaya membenarkan perintah tahanan reman terhadap pelajar terbabit dilanjutkan sehingga hari ini, mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. Siasatan ke atas mereka dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Semua 14 pelajar terbabit, yang dibawa menaiki van polis ke Mahkamah Majistret di sini, kira-kira jam 2.30 petang, menutup muka dengan baju dan kertas surat khabar.

Ahli keluarga dan saudara mara mereka kelihatan muram apabila melihat pelajar itu, yang sepatutnya berada di sekolah mentelaah pelajaran, dibawa semula ke dalam lokap.

Selepas majistret membenarkan tahanan reman disambung semula, pelajar terbabit diiringi anggota polis terpaksa meredah hujan lebat untuk menaiki van yang menunggu dalam perkarangan mahkamah. Mereka ditahan di lokap Balai Polis Paroi.

Isnin lalu, Majistret Sulaila Haron memerintahkan kesemua pelajar berkenaan ditahan reman empat hari sehingga semalam.

1:29 a.m. - 2004-04-03

-----------------------------------------------------------------------------------------

previous - next

latest entry

about me

archives

notes

DiaryLand

contact

random entry

other diaries: