-----------------------------------------------------------------------------------------
October 29, 2004Sampai bila rakyat Selatan Thai terus dibunuh sesuka hati?
Sekurang-kurang 78 orang lemas atau dihimpit sampai mati setelah ditangkap dan dicampak ke dalam trak polis dan enam lagi mati terkena tembakan selepas berlaku rusuhan di Selatan Thai. Itu yang dilaporkan oleh pihak keselamatan Thai, angka sebenar tidak diketahui.
Laporan menyebut bahawa selepas menahan mereka yang berkumpul, polis dan tentera menendang serta menghentakkan belakang senapang pada tahanan, tangan mereka diikat, dan mereka dipaksa bergeser atas dada (tanpa baju) ke trak dan kemudian dibawa ke pusat tahanan.
Pengumuman angka kematian meningkat dengan mendadak daripada pertempuran ganas itu. Pihak berkuasa pada awalnya berkata enam orang telah ditembak semasa rusuhan Isnin lalu di sebuah balai polis di wilayah Narathiwat.
Amat menaikkan darah lagi apabila pihak berkuasa menyalahkan mangsa mati kerana lemah dari berpuasa dan dipengaruhi dadah. Bukan kali ini saja alasan dadah digunakan, malah, dalam serangan polis Thai ke atas sebuah masjid pada April lalu juga dikatakan pemuda-pemuda yang berkumpul di masjid dipengaruhi dadah. Nampaknya, kerajaan Thai termasuk perdana menterinya Thaksin Shinawatra, mencari alasan mudah untuk menutup perbuatan keji mereka.
Tiada bukti yang dilaporkan menyokong dakwaan tersebut. Jika terdapat bukti, kerajaan Thai sewajarnya mengeluarkan pengesahan bebas. Perbuatan menuduh mangsa yang mati dalam trak askar kerana mengambil dadah, memang berniat jahat.
Bilangan kematian semasa tahanan yang begitu ramai membawa kepada persoalan serius akan kegagalan pihak keselamatan Thai melaksanakan tanggungjawab mereka. Tindakan dan perbuatan yang menyebabkan kematian tersebut memang kejam dan tidak berperikemanusiaan. Kerajaan Thai mesti bertanggungjawab dan mencari jalan penyelesaian segera dan tidak menggunakan kekerasan sebagai jalan pintas.
Persoalan kedua, ialah apa akan terjadi kepada mereka yang masih ditahan, yang bilangannya mencecah 1,300 orang? Saudara-mara dan rakan-rakan di kampung yang semakin bimbang dan resah, sedang menunggu berita mengenai tahanan. Apakah alasan bagi penahanan yang begitu ramai dalam masa yang mencemaskan ini?
Mereka yang ditahan di bawah undang-undang tentera, wajar mendapat bantuan guaman, dibenarkan berjumpa saudara-mara dan mendapat rawatan perubatan dan dipastikan tidak dikenakan seksaan atau layanan tidak berperikemanusiaan.
Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana ia hanya menambahkan ketegangan yang menimbulkan ketidaktentuan di pihak keluarga mangsa. Pihak tentera Thai tidak bijak jika membiarkan keadaan sebegini berpanjangan.
Perdana Menteri, Dr Thaksin Shinawatra, bersetuju bahawa pembunuhan tersebut tidak sepatutnya berlaku, serta menyatakan rasa kesal dan memberitahu satu siasatan akan dilakukan bagi mencari punca kejadian di balai polis Tak Bai, wilayah Narathiwat.
Dr Thaksin Shinawatra memang nampak bersimpati kepada mangsa-mangsa tetapi hakikatnya Thaksin mempunyai hubungan yang rapat dengan pihak militer dan kapitalis Thailand.
Pembunuhan rakyat Thai oleh pihak keselamatannya sewajarnya menjadi amaran kepada semua warga ASEAN. Di Thailand, dan juga di beberapa negara ASEAN hari ini, kita menyaksikan kedatangan semula fascism. Pembunuhan kejam rakyat selatan Thai mengingatkan kita akan pembunuhan berpuluh-puluh aktivis pro-demokrasi di Myanmar pada 1988, apabila mereka disumbat dalam lori dan dihalakan ekzos ke dalam trak sehingga semuanya mati lemas terhidu asap. Peristiwa ini tidak lain membuktikan perjuangan untuk pengislahan demokratik di ASEAN belum berakhir dan dasar ASEAN antara kerajaan untuk tidak campurtangan dalam hal-hal dalaman ialah cara yang mudah membenarkan kerajaan-kerajaan yang ada untuk terus-menerus membunuh rakyatnya sendiri.
Pembunuhan begitu ramai rakyat boleh berlaku di Thailand hari ini, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, melakarkan kepada kita siapa Thaksin sebenarnya, seorang yang tidak menghiraukan nyawa manusia dan hak fundamental sebagai seorang rakyat. Sebuah akbar Thai pernah menulis tentang sikap Thaksin terhadap hak asasi:
“Dia (Thaksin) memandang rendah hak asasi manusia dan telah menyebabkan berselerak tragedi-tragedi peribadi, yang berselindung di sebalik dakwaan kejayaan perang terhadap dadah. Tetapi kini, kecacatan dalam kepimpinannya mengancam negaranya yang akan tenggelam dalam kancah yang paling merbahaya; yang memisahkan antara rakyat dan negara.”
Tetapi ini semua tidak mengejutkan kerana Leftenan Colonel (B) Dr Thaksin Shinawatra mendapat kuasa, secara tidak langsung disebabkan kejatuhan projek demokrasi di Thailand dan kembalinya otoritarian, kecenderungan yang bertentangan dengan pembaharuan.
Thaksin dengan latarbelakang pendidikan yang sama dengan pemimpin-pemimpin kanan tentera Thai, polis dan keselamatan, mendapat penghormatan dan sokongan daripada mereka. Setelah bersara dia menceburi dunia perniagaan dan naik menjadi orang yang berjaya dalam bisnes telekomunikasi. Dengan hubungan perniagaan dan tentera dan mempunyai asas kewangan yang kukuh, dia membentuk dan mengetuai parti Thai Rak Thai (Thai suka Thai) dan mendapat kuasa setelah disokong oleh kelas pertengahan dan komuniti perniagaan.
Sebahagian daripada projek Thaksin ialah ‘kontrak sosial baru’ bersama masyarakat Thai, yang menjanjikan pemulihan undang-undang. Di bawah kepimpinannya, masyarakat sentiasa disuntik dengan propaganda mengenai ancaman dalam Thailand, dari kumpulan-kumpulan dadah kepada militan Islam di Selatan Thai. Selepas September 11, 2001 dan serangan di Indonesia pada 2002, Thaksin mengeksploit retorik ‘peperangan ke atas keganasan’ untuk terus mengukuhkan kedudukannya. Khususnya, Thaksin ingin menunjukkan kepada rakyat Thai dan komuniti antarabangsa bahawa masalah di Selatan Thai ialah sebahagian daripada trend ‘keganasan Islam’ yang perlu ditangani dengan keras, malah secara ganas oleh kerajaan.
Pendekatan Thaksin ini dimudahkan lagi dengan perlantikan Jeneral Panlop Pinmanee, bekas pegawai ‘mercenary’ di Laos yang juga ketua Skuad Mati Anti Komunis berkhidmat kepada tentera Thai. Pinmanee terkenal dengan taktik kejamnya dan rekod pencabulan hak asasi manusia, yang ditunjukkan sekali lagi semasa kempen cegah dadah di Thailand yang membawa kepada pembunuhan seramai 2,000 orang.
Jeneral Pinmanee dan Leftenan Jeneral Pisarn telah ditugaskan di Selatan Thai di wilayah-wilayah Patani, Yala, Narathiwat dan Satun. Pinmanee yang suka pendekatan terus dan konfrontasi telah menyebabkan pembunuhan kejam pemuda-pemuda yang berkumpul dalam masjid Krue Se di Patani 28 April lalu. Tentera Thai yang menyerang pemuda-pemuda tersebut turut memusnahkan masjid lama itu dalam pertempuran berdarah itu.
Keadaan yang begitu hina dan memalukan ini hanya terpikul di atas bahu kerajaan-kerajaan negara ASEAN kerana tidak berusaha membantu menyelesaikan permasalahan di Selatan Thai lebih awal. Buat selama ini, pemimpin-pemimpin ASEAN hanya berpuashati memainkan peranannya seperti burung unta yang suka menyorokkan kepalanya dalam tanah bagi mengelak daripada ternampak realiti sebenar di depan mata.
Pada hari ini, pilihan ini tidak semudah dulu kerana tanah yang hendak disorokkan kepala sudah basah dengan darah mereka-mereka yang tidak berdosa.






